ARTIKEL, CERPEN & PUISI
artikel
Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak Dari Aurat Lelaki?
Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka.
"Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak."
"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak."
"Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!"
"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!"
"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?"
"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?"
"Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?"
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.
Kaum lelaki pula cakap, "Ah, mujur aku ni lelaki!"
Tunggu..!
Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah.
"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu?
Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak?
Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!"
"Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!"
"Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu.
Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!"
"Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah... itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!"
"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!"
"Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!"
"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!"
Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.
PUISI
Sehelai tudung labuh
Setulus bicara
Meluahkan rasa
Sehelai tudung labuh
Seindah hijab menjadi plilihanku
Suatu ketika dahulu
Diri hanya insan biasa
Gadis yang hanya berpesonaliti biasa
Namun Hidayah-Nya
Hadir tanda kasihNya
Tudung labuh menyentuh fitrah
Membuatkan aku jatuh cinta
Pada hijab yang sempurna..
Tudung labuh sangat bermakna
Menjadi penghormatan pada diriku sebagai seorang wanita
Aku berubah bukan kerana ingin mendapat gelaran ustazah
Namun tanda cinta pada Illahi yang memberi perintah
Untuk kaum hawa menjaga aurat dengan sebaiknya
kerana itulah yang terindah dan berharga
Kadang kala
Aku kecewa
Pada sikap segelintir manusia
Hanya pandai menyindir tanpa usul periksa
Sangat susah untuk mendidik hati supaya lebih sabar dan redha
Namun ku kuatkan semangat untuk tidak berputus asa
Istiqamah dalam menjaga aurat demi keranaNya
Ya Allah.... Ya Tuhanku
Janganlah kau bolak-balikkan hatiku
Setelah Engkau memberiku Hidayah-Mu
Tetapkanlah hati ini dalam meneruskan perjuangan rasul-Mu
Dan Engkau kuatkan diri dalam mujadah nafsu
Moga Engkau redha atas segala laku
ARTIKEL
Cinta mahabbah
Tiada kata secantik bahasa
untuk ku puji adinda
Tiada gambar seindah lukisan
nak ku tunjukkan perasaan
Tersusun indah senikata dalam irama dan lagu yang didendangkan. Melahirkan rasa cinta seseorang kepada orang yang dicintainya. Terjadi cinta kerana fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah sememangnya cinta terjadi kerana mematuhi kehendak Allah. Justeru kesempurnaan cinta seseorang kepada Allah ialah bila dia mencintai seseorang yang dicintai oleh Allah dan dia membenci seseorang yang dibenci oleh Allah.
C I N T A adalah asas bagi segala jenis ibadat. Ibadat menjadi tidak sah tanpa disertai dengan rasa cinta dengan kerendahan hati yang sempurna, seperti senikata lagu di atas perbuatan cinta dan rasa cinta diluahkan dengan kerendahan hati (ikhlas).
Anugerah cinta yang dikurniakan Allah dan nikmat yang dirasainya amatlah tidak ternilai harganya hingga kadangkala seseorang sanggup mengorbankan nyawa untuknya.
Tetapi, bolehkah kita menyamakan cintanya kita kepada seseorang dengan cintanya kita kepada ALLAH? Tentu sama sekali jawapannya, TIDAK. Kerana barangsiapa yang menyamakan cintanya kepada seseorang sebagaimana dia menyintai Allah atau mencintai sesuatu selain Allah atau mencintai sesuatu bukan kerana Allah maka orang tersebut termasuk ke dalam golongan orang yang telah 'syirik' iaitu menyekutukan Allah. Nauzu Billah Min Zalik.
Ini kerana hawa nafsu CINTA harus disesuaikan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w , sebagaimana ayat di dalam surah Ali' Imran ayat 31.
" Katakanlah (wahai Muhammad): " Jika kamu benar mencintai Allah ikutilah daku, nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
Pesan tuhanku
Matanya yang tak pernah tertatap. Santunnya yang tak pernah terjerat. Hatinya yang belum pernah termiliki. Nawaitunya yang ingin seorang zauj hadir menemani. Serendah-rendah nama, semulia-mulia cinta. Di bawah langit cinta Allah azzawajalla..
Malam itu, pada kertas kanvas yang putih, namamu yang menimbul. Persis dakwat yang membasah. Menyerap selemah-lemah kanvas. Tertulisnya nama, tercatatnya hasrat yang setia. Maafkanlah andai kanvas itu tak mahu menguning. Dimamah hari dan hari. Likat dakwat ibarat keindahan yang tiada tara. Lafaz cinta yang belum pernah terungkap.
Menyepikah nama seorang pemuda, pada jiwa sekuntum bunga. Berdurinya di pagar taman-taman larangan. Melarikan renung mata, menjauh gurau senda. Hati dan anggota memekar. Atas sebuah nama cinta. Menggulir riak rasa yang mahu. Apatah lagi umur purata, kini sudah ramai mencipta baiti jannati. Bersabarnya atas ketentuan. Memecah resah-resah yang haram.
Duhai Tuhan yang mendengar setiap zarah bicara..
Dari jiwa dalam dan tulis lemah seorang hamba..
Ingin, sungguh ia semahu yang boleh..
Memegang hati untuk Engkau tetapkan..
Tika menghapus ruang dan waktu..
Tika beriman aqal dan nafsu..
Naluriku yang senantiasa berkata..
Mahabbah rindu biarkan rahsia..
Moga mengalir tanpa dosa..
Wasilah jiwa yang mendamba redha..
Khabarkanlah cintamu kepada allah
"jika kita mencintai seseorang biarlah kita mendiamkan diri kerana apabila kita diam itulah yang menjadi tanda cinta kita pada nya. Dan khabarkanlah perkara ini kepada Allah, kerana dia mengetahui segalanya daripada kita"
Memang benar apa yang apa yg terdapat dalam ayat di atas, dan saya tidak nafikan dan bukannya untuk dibanggakan tetapi sebagai perkongsian bersama kerana perkara inilah yang saya pegang hingga hari ini. Tapi bagi sesetangah orang perkara ini payah kerana ada segelintir orang sahaja yang sanggup menaggung rasa di hati dan menyatakan nya kepada Sang Pencipta.
Di sini saya ingin berkongsi apa yang saya baca mengenai "Cinta Mengikut Islam" ini;
1 ) Pendam dan luahkan pada Allah
Pertama sekali, jika kita mencintai seseorang haruslah kita pendamkan dahulu dan menyatakan hasrat kita kepada Allah. Kita tidak perlu terburu buru takut perempuan/lelaki itu mencintai orang lain kerana jodoh ini adalah semua aturan Allah. Allah lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui.
Justeru, menyatakan perasaan kita kepada Allah terlebih dahulu, itulah cara yang paling terbaik kerana insyaAllah, Allah tidak akan memberi sesuatu kepada kita melainkan kita berhak mendapat nya dan dalam bab jodoh ini kita berusaha lah menjadi hamba Allah yang terbaik. Niatkan pertamanya apa yang kita lakukan ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan jodoh yang baik, tetapi adalah semata-mata kerana Allah.
Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap kebaikan itu pastinya akan diganjari dengan kebaikan pula. Demikianlah juga dalam perihal jodoh sesudah kita mantapkan diri atas apa yang kita lakukan semata-mata kerana-Nya, sudah tentulah Allah akan berikan yang 'sekufu' iman dengan kita. Jika kita berusaha menjadi hamba yang soleh/solehah, maka Allah berikan kebaikan ke atas usaha itu.
Allah telah janji dan berfirman dalam kitabNya yang bermaksud;
"Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik begitu lah sebalik nya"
(Surah an-Nur ayat 26)
2) Nilai dan selidiki sebelum mencintai
Cinta itu hadir tanpa kita sangka. Kadang-kadang ianya berputik tanpa kita sedari. Ada pula yang hadirnya walau hanya pertama kali bertentang mata (sekali pandang). Namun, sebelum kita membiarkan cinta itu tertanam di lubuk hati kita yang paling dalam, maka nilailah cinta kita itu semula.
Adakah cinta kita itu untuk dunia sahaja? Kerana kemewahannya kah? Untuk memuaskan nafsu diri kah? Atau semata-mata kerana untuk menyempurnakan agama? Andai cinta kita kepada seseorang itu hanyalah kerana nafsu dan dunia, maka rugilah kita kerana kita tidak akan dapat apa-apa melainkan kepuasan hanya di dunia. Tetapi jikalau kita mencintai seseorang kerana Allah dan berniat untuk memuliakannya dengan ingin menikahinya maka besarlah pahalanya sedang perkahwinan itu diibaratkan seperti membina sebuah rumah Allah.
Mungkin ada yang berkata;
" Tak kan la awak kahwin itu bukan sebab kecantikannya"
"Aik, awak nikah ni tanpa nafsukah?"
Ya, benar!. Sebagai manusia kita dikurniakan nafsu, cintakan kecantikan. Hakikatnya semua manusia cintakan kecantikan, hatta Allah juga sangat mencintai kecantikan kerana Allah itu bersifat dengan kesempurnaan. Begitu juga dengan bernikah kerana nafsu. Namun, antara asbab itu, jadikanlah pernikahan kerana Allah itu berada di tingkatan yang paling atas. Nikah kerana Allah itu yang paling utama dan pertama.
Mencintai tuhan kita pasti bertemu
Dan tersulamlah simpulan seorang pemuda dan gadis. Mereka mencintai Tuhan mereka. Mereka tak pernah mahu rasa membuncah sebelum akadnya. Berusahalah. Usah penat dan lelah. Sungguh, pendam mereka pendam teragung.
Berlarilah bersama sebuah harapan. Disulam, bersama benih-benih ingatan. Kadang hati itu rasa mahu untuk mengetahui. Terkadang hati yang sama itulah, ingin benar untuk mengkhabarkan. Kerna lumrah yang berbolak balik. Ke atas dan ke bawah manapun, harapan itu tetap sama. Kerna telah wujud sebuah ingatan. Dan tanpa calar yang dalam, dan tanpa rentas syariat agamanya, maka sudah tentu hati berbicara pada suatu sudut yang berbeza. Mengorbankan rasa untuk sebuah gelojak serba dan salah.
Memegang erat-erat kalam Tuhan. Di dalamnya terdapat cahaya dan jalan untuk dipegang. Andai terjelepok, koreksilah jiwa. Andai mendekat, teruslah mengucup keredhaan Tuhan. Hanya jiwa-jiwa yang berharap tak pernah luntur, akan sentiasa mengorbankan rasa yang terpendam. Betapa hati itu bertemankan manik-manik tulus. Kerna menjauhi untuk menemui. Dan melalui hari-hari esok, dengan menyibukkan diri dari mengingati.
Doa itu tak pernah memudar. Warkah sepi tak pernah berbicara. Hanya Tuhan yang jadi saksi. Betapa perihnya usaha. Memperbaiki dan memperindah. Maksud sebenar seorang pemuda dan gadis yang bertuhankan Allah swt. Dan menafilah nama-nama yang jujurnya diharapkan. Kerna takut pada zina yang hina. Kerna ingin segalanya berbeza. Suatu hari, bertemu pada jasa-jasa kecil. Yang tidak ternampakkan oleh jiwa punya anggota. Tuhan kan takdirkan yang terindah untuk yang baik. Dan yang terbaik untuk yang meningkat jiwanya.
Harumlah bau-bau syurga, dek meminta ingatan itu menjauh. Sesekali terkenang, segera hati kecil minta didekatkan. Betapa jiwa itu lemah. Lumrah jiwa pemuda dan gadis yang ingin segalanya tanpa syubhah. Saat perasaan itu bertasbih, cinta yang terpelihara kan menghampirkan mereka.
Semoga, itulah lafaz yang ingin benar dilafazkan. Suatu hari, bergeraklah ke arahnya. Betapa cinta selepas akad itu terindah. Namun, sudah tentu doa-doa yang berharapkan kan bertemu. Untuk mereka yang memelihara diri dan nafsu. Berpisah menjauhi zina. Bertemu menyulam cinta terpelihara. Semoga berjaya.