Tazkirah
ingat memperingati sesama muslim, semoga beroleh manfaat
sahabat yang saling merindui
Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw.
Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasih sayang Tsauban terhadap dirinya.
Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi.".
Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud :
"Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman."
Hakikat Sebuah Doa
Setiap manusia dilahirkan mempunyai masalah. Pelbagai persoalan muncul di depan mata, seakan tiada habisnya. Lebih daripada itu, masalah itu semakin menenggelamkan manusia pada penderitaan yang tidak berkesudahan.
Ramai di antara mereka yang berputus asa. Perintah solat mula ditinggalkan, bersedekah apatah lagi. Bahkan ironinya, ada yang pergi ke tok bomoh, mencuri, menjual diri dan pelbagai bentuk kejahatan lain yang dianggap sebagai solusi untuk menyelesaikan krisis yang melanda diri mereka.
Hidup pun tiada terasa indahnya lagi. Lihat ke kanan masalah, ke kiri masalah, atas dan bawah pun masalah yang seakan-akan datang menghimpit seluruh jiwa dan raga.
Lalu apa yang patut kita lakukan ketika ini? Adakah kita hanya bersembunyi di balik masalah ini? Menjerumuskan diri pada bentuk maksiat yang menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat? Minum minuman keras yang dapat melupakan masalah kita dalam masa sementara? Atau bunuh diri agar masalah yang dihadapi selesai setelah kita mati?
Semua perkara di atas amat mudah terlintas dalam fikiran manusia kerana pada prinsipnya manusia sangat mudah berputus asa. Alangkah meruginya kita kalau fikiran-fikiran seumpama ini kita ikuti.
Muhasabah diri sentiasa
Di saat manusia ditimpa pelbagai musibah dan masalah, tindakan bijak yang perlu kita lakukan adalah memuhasabah hubungan kita dengan Allah swt. Salah satu bentuk komunikasi yang perlu kita lakukan adalah berdoa.
Doa hakikatnya adalah penuntun kita untuk melakukan perubahan diri. Hidup kita bukanlah sestatis laut mati. Ia sentiasa bergerak dan berubah dari masa ke semasa. Banyak cabaran yang perlu kita hadapi setiap hari. Melalui musibah inilah, Allah akan melihat siapa hamba-Nya yang sebenarnya. Siapakah hamba-Nya yang bagus kualiti peribadinya? Siapakah hamba-Nya yang mahu melakukan perubahan? Dan perubahan inilah yang menjadi esensi dari doa yang kita panjatkan.
Mengumpat
Seperti biasa, sebagai seorang student yang tinggal di asrama mestilah setiap masa dan saat akan bertemu dengan kawan- kawan. Masa di kelas, prep, bilik dan penjuru mana-mana pun mesti akan berjumpa dengan orang.
Bila tinggal di asrama, adakalanya kita lebih banyak peluang untuk bersembang. Kalau sudah dapat nikmat bersembang, tidak kiralah bersembang tentang isu yang berfaedah mahupun tidak, dosa mahupun pahala, duniawi mahupun ukhrawi semua tidak akan diendahkan. Apa yang penting bersembang!
"Eh, mila engkau tahu tak pasal gosip BigBang tu ? Aku tak puas hati la. Ada ke patut dorang cakap tuuuuttt...tuuuttt....tuuutt..."
"La... Betul ke beb ? Aku pun ada jugak dengar.. Tapi tak pasti la betul ke tak.. blaa..bla..bla..."
"Engkau tahu tak, semalam mamat tu aku nampak dating kat pasar malam... Takdelah cantik sangat makwe dia tu. Biasa je pun.."
Banyak perkara yang kurang manfaat menjadi perbualan daripada yang bermanfaat. Demikianlah manusia seharian. Bila di hitung banyaknya perkataan yang kurang bermanfaat, pasti melebihi timbangannya daripada perkataan yang bermanfaat.
Ada pula yang lebih pro perkataannya tentang dunia artis yang penuh sensasi. Bangga benar dirinya dapat meneroka setiap pelusuk kehidupan artis yang disanjung-sanjung oleh dunia.
Wahai umat Islam, adakah perlu untuk kita kisahkan atau sibukkan diri tentang dunia artis sedangkan diri kita sendiri pun belum tentu terurus? Kita mencanang cerita artis, menjaja gosip yang hangat di dalam kehidupan mereka. Jika boleh, ingin sahaja mengikuti kisah kehidupan idola kita sehingga akhir hayatnya.
Sedarlah bahawa di akhiratlah kita selamanya. Dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Tidak perlu mengejar cerita-cerita duniawi kerana bukanlah cerita-cerita ini yang menjadi peneman kita ketika di kubur nanti. Dari saat ini, sedarkanlah hati kalian agar jangan terlalu taksub untuk hidup di dunia yang fana ini.
Gunakanlah peluang kita hidup di dunia ini untuk mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan amalan sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti.Lebih baik menyibukkan diri dalam urusan yang berkait dengan kehidupan sendiri, daripada menyibukkan diri dalam kehidupan orang lain.