Refleksi 5

Pendahuluan


Model ASSURE merupakan satu rujukan bagi guru di mana guru boleh merancang secara bersistematik agar pengajaran dan pembelajaran yang dihasilkan berkesan , bersistematik mengikut urutan dan berjalan dengan lancar. Menurut Heririch dan rakan-rakannya ( 1982 ) model ini bertujuan untuk menyediakan panduan merancang dan mengendalikan pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan penggunaan media dalam instruksi. Model ASSURE ini merupakan sebuah model rancangan pengajaran yang berasaskan bilik darjah dan bukan merangkumi satu skop rekabentuk pengajaran yang luas. Perancangan yang rapi dan tersusun akan menghasilkan pengajaran yang berkesan.


ASSURE adalah akronim kepada huruf yang pertama. Model ASSURE terdapat 6 langkah utama dalam model reka bentuk pengajaran ASSURE


A – analyze leaners ( membuat analisis dan gaya pembelajaran murid ),

S – state objectives ( nyatakan objektif atau hasil pembelajaran; darjah prestasi yang boleh

diterima ) ,

S – select methods ( pilih kaedah , media dan bahan pengajaaran dan pembelajaran ) ,

U – ultilize media and material ( guna media dan bahan ) ,

R – require leaner participation ( dorong penglibatan pelajar ) ,

E – evaluate and revise ( nilai dan semak )


1.A – analyze leaners ( membuat analisis dan gaya pembelajaran murid )


Komponen menganalisis murid merupakan salah satu komponen yang perlu dititik beratkan sebelum memulakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Jika sesuatu media hendak digunakan dengan berkesan, ia seharusnya disesuaikan dengan ciri-ciri pelajar , kandungan pelajaran , kaedah , media dan bahan pelajaran itu sendiri. Ciri-ciri pelajar yang perlu kita ketahui amatlah luas. Oleh yang demikian, penelitian haruslah dibuat agar guru dapat mengetahui latar belakang seseorang pelajar. Ciri-ciri pelajar yang perlu diketahui adalah seperti perbezaan dari segi keupayaan , kecerdasan , bakat , minat , kecenderungan , sikap , emosi dan sebagainya. Daripada penganalisis inilah membolehkan guru menentukan kaedah , media dan bahan yang sesuai digunakan semasa mengajar.


Analisis pelajar boleh dikategorikan kepada tiga perkara. Yang pertama ciri-ciri umum. Analisis ini boleh diperolehi semasa sesi suai kenal antara guru dengan pelajar pada hari pertama persekolahan.Ciri-ciri umum pelajar termasuklah seperti umur , tahun , kelas , aliran , jantina , penempatan atau daerah atau kawasan , budaya dan seumpamanya.Guru harus menjadi pemerhati semasa pengajaran dan pembelajaran dilakukan.Pemerhatian yang boleh dilakukan adalah dengan memerhatikan keadaan fizikal dari segi pakaian , personaliti , keterampilan , kekemasan dan sikap mereka. Guru juga boleh mengajukan beberapa soalan secara lisan kepada pelajar agar guru dapat menyelidik pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar. Walupun ia dikenali sebagai soalan lisan guru haruslah menyediakan atau menyenaraikan soalan-soalan yang sesuai. Guru perlu menyediakan soalan-soalan dengan lebih awal.Melalui penyenaraian ini guru dapat menyemak soalan dengan lebih bersistematik dan seragam antara pelajar dengan pelajar yang lain. Soalan tersebut boleh ditujukan kepada pelajar lain seorang demi seorang. Selain itu , untuk mengetahui ciri-ciri ini, guru haruslah meneliti rekod pelajar serta berinteraksi dengan pelajar secara langsung agar guru dapat mengetahui latar belakang dan sikap mereka. Persekitaran pelajar juga memainkan peranan penting pambentukan ciri pelajar tersebut. Pada aspek ini juga perlu diingatkan agar segala perbuatan dan perkataan yang diajukan hendaklah sentiasa dijaga supaya tidak menyentuh perasaan yang boleh menimbulkan masalah. Pemilihan kaedah , sumber dan bahan dapat disesuaikan dengan jenis pelajar yang dikenalpasti. Pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasanya dapat dibantu pembelajarannya melalui penggunaan gambar , bahan konkrit dan aktiviti tanpa media cetak.


Yang kedua ialah kompetensi khusus peringkat masuk. Ini adalah berkaitan tentang pengetahuan dan kemahiran sedia ada pelajar tentang tajuk dan kandungan pelajaran. Sebagaimana yang kita ketahui setiap pelajar membawa pengalaman dan pengetahuan sedia ada yang berbeza-beza di dalam bilik darjah. Analisis pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar dapat membantu guru menyediakan pengajaran yang bermanfaat kepada pelajar. Guru boleh mengenalpasti pengetahuan sedia ada pelajar melalui ujian praunit yang akan dipelajarinya ,mengkaji pencapaian pembelajaran unit terlebih dahulu dengan mengadakan sesi soaljawab di dalam kelas. Sebagai contoh pelajar tahun satu sebilangan dari mereka mungkin telah pandai membaca dan mungkin sebilangan dari mereka masih tidak tahu membaca hasil dari aktiviti mereka semasa berumur enam tahun. Perkara ini sering berlaku di setiap sekolah. Oleh itu sebagai seorang guru , mereka haruslah menyediakan soalan-soalan yang berkaitan tentang perkara yang berkaitan. Hasil dari jawapan pelajar ini dapat membantu guru mengetahui dan mengesan tahap pengetahuan mereka dan pengalaman sedia ada mereka. Dapatan dari analisi itu tadi dapatlah guru meletakkan mereka mengikut kumpulan atau kelas yang berbeza-beza mengikut tahap pencapaian mereka. Guru akan mengajar murid mengikut tahap mereka dengan perancang pengajaran yang sesuai dan berkesan berdasarkan pelajar. Pelajar yang mempunyai pengetahuan yang tinggi seharusnya diajar dengan kaedah yang berbeza dengan pelajar yang lemah. Selain itu dapat membantu guru menyediakan pengajaran yang berkesan dan pelajar dapat membina pengetahuan secara konstruktivisme. Melalui ini juga dapat membantu guru mengesan pengetahuan pelajar melalui ujian pra atau melalui soal jawab. Guru harus ada maklumat tentang pengetahuan dan pengalaman pelajar tentang topik yang akan dipelajari , mudahlah bagi guru untuk memilih pengisian sumber pembelajaran dan kaedah yang sesuai yang akan digunakan. Aspek ini tidak boleh diperkecilkan kerana kesannya sangat besar kepada pembelajaran pelajar. Jika semua pelajar diajar dengan tahap yang sama pelajar yang lebih lemah akan sentiasa ketinggalan dan mereka tidak memahami apa yang diajar oleh guru.


Yang ketiga ialah gaya pembelajaran. Guru guru seharusnya merancang program dan aktiviti pembelajaran berkesan dan menarik. Guru sebagai model boleh menggunakan gaya seperti melakonkan keadaan mengikut tajuk. Gaya pembelajaran seharuslah lebih kreatif dan kreatis. Murid lebih suka dengan gaya pembelajaran yang melibatkan komunikasi dua hala iaitu di antara guru dan murid . Pembelajaran ini kebiasaannya guru adalah hanya sebagai pembimbing.Pelajar suka belajar berdasarkan apa yang menarik dilihat. Penumpunan akan timbul sekiranya guru dan murid sama-sama aktif di dalam kelas. Pelajar juga mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Gaya pembelajaran individu merujuk kepada cara yang paling sesuai dan berkesan untuk individu itu menguasai pembelajaran. Pengetahuan tentang gaya pembelajaran merancang pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Gaya pembelajaran individu mempengaruhi cara individu memproses maklumat , membentuk persepsi merupakan faktor motivasi dan tingkah laku belajar. Selain itu sebagaimana yang kita ketahui pada masa kini ramai pelajar yang lebih berminat kepada gaya pembelajaran yang melibatkan media. Contohnya seperti bahan grafik, animasi , visual dan audio. Melalui cara ini pelajar tertarik dari segi persembahan dan warna. Tarikan ini membolehkan pelajar merasa lebih seronok dan menimbulkan perasaan ingin tahu perkara seterusnya. Gaya pembelajaran dapat mempengaruhi cara seseorang individu memproses maklumat serta membentuk persepsi. Selain itu kelas akan mudah dikawal sekiranya pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya berdasarkan apa yang dilihat itu. Sekiranya gaya pembelajaran yang dilakukan dapat menarik minat murid maka ia dapat meningkatkan pencapaian akademik , sikap dan disiplin pelajar. Tiada lagi timbul masalah murid ponteng kelas , tidur di dalam kelas , bising di dalam kelas atau keluar dari kelas.


2. S – State objective ( nyatakan objektif )


Langkah seterusnya adalah dengan menyatakan objektif pengajaran dan pembelajaran secara khusus.Dalam sesuatau pengajaran dan pembelajaran objektif adalah amat penting dan harus dinyatakan dengan jelas. Guru perlu menyatakan objektif pelajaran yang akan dicapai oleh murid. Objektif mestilah spesifik. Objektif tersebut seharusnya sesuai dengan kehendak pelajar serta menetapkan perubahan tingkah laku yang akan berlaku pada pelajar. Pernyataan objektif pembelajaran dapat membantu guru supaya lebih fokus kepada perkara yang sepatut dipelajari dan dikuasai pelajar. Pernyataan objektif juga dapat membantu guru memilih media dan kaedah penyampaian yang sesuai. Dengan itu guru dapat menentukan langkah aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru tidak mungkin dapat menilai pencapaian pelajar tanpa menyatakan objektif terlebih dahulu. Setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang adalah untuk menyampaikan maklumat berdasarkan objektif pengajaran yang dibuat. Secara rasionalnya, objektif pengajaran amat penting kerana ia memberi panduan kepada guru cara untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan memilih media yang paling sesuai bagi setiap aktiviti yang dijalankan.Pengajaran dan pembelajaran yang berlandaskan objektif yang jelas boleh membantu pelajar lebih memahami dengan baik dan mampu merealisasikan matlamat pengajaran guru. Objektif perlu dipastikan agar menepati kehendak pengajaran. Objektif yang baik mengandungi empat kriteria berikut:


  • Siapa yang hendak mencapai objektif tersebut ?

Fokus penulisan objektif ialah pembelajaran. Kumpulan sasar yang dimaksudkan ialah pelajar. Pembelajaran akan berlaku sekiranya pelajar terlibat aktif dlam aktiviti pembelajaran sama ada secara mental ataupun fizikal.

  • Apa objektif yang hendak dicapai ?

Apakah yang hendak dicapai adalah merujuk kepada pelajar. Tingkah laku yang dinyatakan dalam objektif pengajaraan dan pembelajaran hendaklah dapat dilihat dan diukur pencapaiannya. Tingkah laku ini juga hendaklah yang wajar dan berasas situasi sebenar. Antara perkataan yang sesuai digunakan ialah melakar , menamakan , meramal , membaca , menjawab , melukis , menilai , melabel dan menjelas.

  • Bagaimana objektif hendak dicapai

Situasi atau syarat pelakuan bermaksud penyataan pencapaian syarat objektif dapat membantu guru menyediakan suasana , langkah-langkah pembelajaran dan media yang sesuai.

  • Berapakah ukuran tahap minimum yang hendak dicapai ?

Darjah pencapaian minimum atau standard pencapaian merujuk kepada darjah ketepatan, kualiti atau kuantiti tingkah laku, tempoh masa yang ditetapkan dan sebagainya. Penyataan pengukuran pencapaian ni akan membolehkan guru menyediakan tindakan susulan bagi membantu pelajar yang belum mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk aktiviti pemulihan dan aktiviti pengayaan. Penulisan tahap pencapaian boleh dalam bentuk kualitatif dan kuantitatif.


Contoh penulisan objektif pengajaran dan pembelajaran ialah :

  • Pada akhir pengajaran dan pembejaran pelajar dapat :
  • Menyenaraikan kata nama am sekurang-kurangnya 8 dari 10 dengan betul.
  • Menamakan secara lisan sekurang-kurangnya lima kata nama khas.


Selain daripada itu, objektif yang baik seharusnya boleh diukur dan dilakukan oleh pelajar setelah mengikuti sesuatu unit pengajaran dan pembelajaran. Objektif melibatkan apa sahaja berdasarkan tajuk pelajaran yang dipelajari dan dikuasai. Contohnya pengetahuan , kemahiran, perubahan tingkah laku , sikap , perangai dan sebagainya. Guru akan berasa puas hati sekiranya objektif pengajaran akan tercapai. Sekiranya objektif pengajaran tidak tercapai ini bermakna terdapat masalah terhadap pengajaran tersebut. Oleh itu guru perlu mengkaji masalah tersebut dan cara mengatsinya.Sebagai contoh dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia objektif yang terkandung di akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat menyenaraikan lima kata nama am dan lima kata nama khas. Sekiranya pelajar dapat mennyenaraikan kelima kata nama am dan kata nama khas maka objektif tersebut tercapi dan pengajaran berjaya. Dengan itu, guru boleh meneruskan kepada tajuk yang lain. Tetapi jika pelajar gagal menyenaraikan lima kata nama am dan kata nama khas maka objektif tidak tercapai dan pengajaran dan pembelajaran tidak berjaya. Sekiranya ini berlaku maka guru haruslah merancang pengajaran dan pembelajaran dengan lebih kreatif , bersistematik difahami. Untuk memastikan objektif tercapai guru harus melakukan beberapa perkara iaitu :

  1. Menentukan strategi pengajaran
  2. Mengenalpasti bahan pengajaran dan pembelajaran
  3. Menentukan tugas dan aktiviti yang hendak dijalankan
  4. Menganggarkan bentuk penilaian
  5. Menentukan masa dan ruang
  6. Menganggarkan kadar pencapaian pelajar


3.S - Select methods, media and material ( Pemilihan kaedah , media dan bahan sumber )


Bahan media dipilih berdasarkan kepada tingkat kebolehan pelajar da matlamat atau objektif pembelajaran yang ingin dicapai. Menurut Mc Alpine & Werson ( 1994 ) dipetik oleh Hwinich

( 1999 ) untuk memilih bahan sumber yang sesuai soalan-soalan berikut perlu ditanya :

  • Adakah bahan ini menepati kurikulum ?
  • Adakah isi pelajaran menepati kurikulum ?
  • Adakah laras bahasanya jelas ?
  • Adakah bahan ini menarik dan dapat memotivasikan pelajar ?
  • Adakah bahan ini dapat menarik penglibatan pelajar ?
  • Adakah bahan ini berkualiti ?
  • Adakah bukti yang menunjukkan bahan ini berkesan ?
  • Adakah bahan ini bebas daripada iklan dan kecenderungan memihak ?
  • Adakah ada panduan pengguna ?


Terdapat 3 langkah dalam penilaian di sini :

  • Menentukan kaedah yang sesuai dengan tugasan pembelajaran.
  • Memilih media yang sesuai untuk melaksanakan kaedah yang dipilih.
  • Memilih , mengubahsuai atau mereka bentuk media yang ditentukan.


3.i) Memilih kaedah

Dalam satu pengajaran pelbagai kaedah yang berbeza yang akan diaplikasikan untuk disuaikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kaedah tersebut akan dijalankan secara berperingkat supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan bersistematik mengikut kronologi dan masa yang ditetapkan. Dalam satu pengajaran pelbagai kaedah yang berbeza akan diaplikasikan untuk disuaikan pada pengajaran dan pembelajaran agar lebih menarik minat pelajar. Contohnya set induksi, pengenalan untuk konsep, aktiviti berkumpulan dan latihan yang dijalankan haruslah mengikut pengalaman sedia ada murid dan minat pelajar. Contohnya kaedah simulasi , demonstrasi , latihan dan latih tubi.


3.ii) Memilih media

Pemilihan media yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran merupakan antara faktor yang membolehkan mesej atau maklumat disampaikan secara bermakna. Contoh media yang boleh dipilih seperti slaid , video , tayangan komputer multimedia. Format media pengajaran yang dipilih perlu sesuai dengan pelajar. Sesuatu media pengajaran dipilih berasaskan potensinya melaksanakan objektif pembelajaran yang berkesan. Pengalaman pembelajaran seharusnya dimulakan daripada situasi atau media yang sebenar yang lebih konkrik dan mudah difahami sebelum kepada situasi atau media yang abstrak.Pemilihan media pengajaran yang perlu diberi tumpuan berasaskan kriteria yang tertentu. Kriteria tersebut ialah sepadan dengan kurikulum, maklumat tepat dan terkini , bahasa yang jelas dan tepat , menarik minat dan mencetuskan motivasi pelajar, Media yang digunakan juga haruslah perkara yang dapat menggalakkan penglibatan pelajar dan mempunyai teknikal kualiti yang baik. Media tersebut perlu juga mempunyai bukti keberkesanannya dan mempunyai buku panduan yang lengkap. Warna dalam sesuatu media yang digunakan juga memainkan peranan yang penting. Warna yang menarik menimbulkan tarikan pelajar di mana murid akan berasa seronok dan pengajaran yang dijalankan akan menjadi lebih bermakna. Pelajar akan sentiasa menanti waktu pengajaran dan pembelajaran itu dijalankan. Media yang menarik secara keseluruhannya akan menjadikan pengajaran tersebut lebih bermakna. Namun begitu perlu diingat bahawa penggunaan media perlu mengambil kira tentang kos. Masa dalam pengajaran dan pembelajaran haruslah tepat. Penggunaan media yang mengambil masa yang panjang akan memencangkan pengajaran tersebut. Oleh itu guru harus merancang masa penggunaan media agar penggunaan media lebih bersistematik mengikut masa yang telah diperuntukkan.


3.iii) Mereka bentuk media

Sekiranya kita gagal untuk memilih media yang sesuai adalah penting untuk kita mengubahsuai media yang tersedia. Terdapat tujuh perkara yang perlu diambil kira untuk mengubah media yang tersedia atau menyediakannya.Perkara tersebut adalah seperti objektif pelajar. Di sini guru harus memikirkan apakah yang perlu pelajar tersebut mencapai. Perkara tersebut adalah seperti objektif, pelajar, kos, kepakaran teknikal dan peralatan. Mereka bentuk secara kreatif dan melibatkan pelajar secara aktif secara tidak langsung dapat memupuk budaya berfikir di kalangan pelajar. Oleh itu ia mampu merangsang tingkahlaku dan minda pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran


4. U – Use media ( Gunakan media )


Dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran penggunaan media dan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran dilihat amat efektif dan sesuai kepada para pendidik. Berikutan itu juga satu perkembangan pesat dalam pembangunan industri dan ledakan teknologi maklumat dapat membantu meningkatkan penggunaan teknologi inovasi dan konvensional ke arah memartabatkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan pembangunan modal insan pelajar. Namun begitu penggunaan media dan bahan dalam pengajaran ada fasa yang amat kritikal kerana walau secanggih atau secantik manapun pembinaan media tetapi jika ia gagal digunakan dengan baik ia akan memberi kesan yang amat negetif. Terdapat lima langkah bagi penggunaan media yang baik.

  • Yang pertama ialah guru haruskan menyediakan media dan bahan yang digunakan dan masa pembelajaran yang diperlukan. Sebelum itu guru haruslah meneliti dan melihat (preview ) video tersebut sebelum mengajar. Ini bertujuan supaya guru dapat bersedia dan melihat sama ada isi kandungan dan tujuan yang telah ditetapkan sesuai dengan mata pelajaran yang hendak diajar. Begitu juga dengan kesesuaian masa yang telah diperuntukkan bagi satu sesi pengajaran dan pembelajaran dalam satu mata pelajaran.
  • Yang kedua ialah guru seharusnya menyediakan media dan bahan , alat serta kemudahan yang diperlukan sebelum pengajaran dan pembelajaran dijalankan mengikut aktiviti pengajaran. Guru perlu merancang dan menentukan urutan apakah yang akan digunakan untuk memanfaatkan media tersebut. Ini bertujuan agar tidak ada pembaziran masa. Sekiranya waktu pemasangan bahan media diselenggarakan semasa bermulanya pengajaran dan pembelajaran ia akan mengambil masa yang ada dan masa untuk mengajar adalah lebih pendek. Jika ini berlaku segala aktiviti dan objektif tidak akan tercapai. Murid akan berasa kecewa dengan pengajaran pada hari tersebut. Jika ia penyediaan dilakukan dengan lebih awal maka guru dapat mengenalpasti kerosakan perkakas media tersebut dan ini membolehkan guru melakukan alternatif lain.
  • Yang ketiga ialah guru harus menyediakan tempat pelajar itu belajar. Contohnya seperti di dalam kelas , dalam bilik tayangan , makmal komputer , pusat sumber atau di tempat-tempat yang sesuai dengan pelajaran tersebut. Tempat-tempat tersebut haruslah dibuat pemerhatian terlebih dahulu keselesaannya. Kebersihan sesuatu tempat juga memainkan peranan yang penting agar keselesaan dapat dicari oleh pelajar. Selain itu suhu , pengudaraan dan pencahayaan haruslah sesuai. Jika tempat-tempat tersebut selesa dan dipenuhi maka pelajar dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran.
  • Yang keempat guru seharusnya menyediakan pelajar. Guru perlu memastikan setiap pelajar harus sentiasa bersedia sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Bilangan murid yang hadir menunjukkan sikap mereka terhadap pengajaran kita. Sebagai mana yang kita ketahui jika kedatangan murid memuaskan pada setiap pengajaran guru ini bermakna pengajaran yang kita jalankan lebih bermakna kepada pelajar dan ia telah menarik minat pelajar untuk belajar.
  • Yang kelima ialah pemilihan bahan dan media tersebut adalah bersesuaian dengan pengalaman pelajar. Pengajaran berpusatkan pada guru , maka guru harus menyediakan sebagai seorang guru yang professional. Jika pengajaran tersebut berpusatkan kepada pelajar maka guru harus berperanan sebagai fasilitator dan pembimbing. Guru perlu merancang bagi mengenalkan pelajar mencari topik dari internet,perbincangan isi kandungan , menyiapkan portfolio atau membuat pembentangkan maklumat kepada rakan sekelas. Guru harus merancang untuk menyediakan set induksi yang menarik atau menyatakan tujuan dan objektif pembelajaran.


5. R- Require Leaner Response ( Libatkan pelajar dalam pembelajaran )



Untuk memastikan bahawa proses pembelajaran berlaku pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Sesuatu pembelajaran yang melibatkan pelajar beraktiviti atau berfikir secara aktif akan menghasilkan perubahan tingkah laku yang kekal. Ini disokong oleh semua teori pembelajaran seperti teori behavioris dan juga teori kognitif. Pengalaman rasa berjaya pelajar akan dapat mengekalkan motivasi pelajar terhadap aktiviti pembelajaran. Latihan dalam bentuk perbincangan , latih tubi , latihan bertulis , permainan bahasa , kuiz , projek dan sebagainya dapat terus mengekalkan penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran. Kegiatan pengukuhan seperti pengukuhan serta merta diberi selepas member tindakbalas yang betul.


Sekiranya pelajar terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran suasana kelas akan kelihatan lebih aktif dan menyeronokkan. Murid dapat merasakan pengajaran tersebut lebih bermakna. Sesuatu pengajaran yang melibatkan pelajar secara aktif akan menghasilkan proses perubahan tingkah laku yang diharapkan. Penyediaan media dan bahan sumber yang sesuai sebenarnya dapat membantu dan mengekalkan penglibatan pelajar dalam proses belajar. Penggunaan seperti gambar , foto , slaid gambar bersiri , video , mencetuskan perbincangan dalam kumpulan dapat menjana idea dan juga aktiviti penyelesaian masalah.


6. Evaluation ( Nilai dan semak semula )


Langkah yang keenam ini ialah melakukan penilaian dan pengubahsuaian sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Penilaian perlu dilakukan untuk melihat kekuatan dan keberkesanan media secara menyeluruh. Dengan kata lain penilaian adalah proses membuat pertimbangan nilai teatang sesuatu perkara. Pernyataan tentang hasil tujuan akan membantu untuk mengembangkan kriteria baik untuk pelajar mahupun sesuatu kelompok. Ini semua bertujuan agar penambahbaikan dapat dilakukan untuk mendapatkan kesan penggunaan media yang maksimum dalam pengajaran.


Keputusan ini bukan sahaja diambil apabila semua pengajaran berakhir tetapi penilaian dan pengubahsuai ini berlaku sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran iaitu sebelum , semasa dan selepas pengajaran. Ini dapat memastikan pemilihan objektif , media dan sumber sesuai dengan keupayaan pelajar. Guru perlulah melakukan sesi refleksi pada murid. Guru boleh mengajukan beberapa soalan kepada murid bagi mengetahui apa yang telah murid perolehi daripada sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Sesi ini juga dapat membantu dan menilai kelemahan yang terdapat dalam pengajarannya. Guru harus memastikan :

  • Adakah pencapaian antara apa yang diharapkan berlaku?
  • Apakah pelajar dapat mencapai objektif ?
  • Bagaimana pelajar merealisasikan media yang disediakan?
  • Adakah pelajar berpuas hati dengan media yang digunakan?



Guru seharusnya melakukan refleksi pelajaran pada setiap kompenan. Buat catatan segera sebelum mengaplikasikannya pada pengajaran yang lain. Apabila hasil itu mempunyai kelemahan pada kompenan yang tertentu maka guru harus memperbaikinya. Sekiranya pencapaian adalah memuaskan ini menggambarkan objektif merancang telah tercapai, penggunaan media , kaedah dan bahan adalah tepat dan bersesuaian.


Penutup


Teknologi Pengajaran yang merangkumi teori dan amalan berkaitan mereka bentuk, mengguna, mengurus dan menilai proses serta sumber untuk pembelajaran adalah sesuatu yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran masa kini. Dengan kemajuan dalam pembangunan dan dunia teknologi, teori serta amalan teknologi pengajaran turut sama berubah.


Atas faktor-faktor perubahan yang sedemikian para pendidik perlulah lebih berdaya saing dan sentiasa bersedia dengan ilmu dalam bidang yang dikhususkan. Di samping itu para pendidik juga perlu bersedia dengan ilmu-ilmu serta pengalaman yang lain bagi melahirkan seorang pendidik yang serba boleh.


Dengan Teknologi Pengajaran yang berperanan penting dalam menangani sebarang persoalan melalui pembekalan beberapa model pengajaran yang sesuai, teknik-teknik pengajaran yang maju dan perisian yang releven dan pengurusan yang cekap para pendidik akan lebih bersedia dengan profesion keguruan masing-masing.


Berbantukan Model pembelajaran ASSURE sesi dan kandungan pengajaran pendidik akan lebih baik, menarik dan lebih terancang lagi. Model ASSURE ini sudah pasti akan lebih membantu para pendidik dalam merncang proses pembelajaran sama ada sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran itu.


Kesimpulannya Teknologi Pengajaran dan Model ASSURE adalah satu kombinasi ilmu teknologi pengajaran dan satu teori pembelajaran yang sangat berkesan dalam sesi pengajaran dalam kelas. Para pendidik yang menggunakan kedua-dua kombinasi ini adalah tidak mustahil untuk menghasilkan satu sesi pembelajaran yang menarik pada para pelajar.