Refleksi 3

PENDAHULUAN


Sistem Pendidikan masa kini sedang mengalami perubahan yang pesat. Pelbagai kaedah baru diperkenalkan dan digunakan supaya pengajaran guru menjadi lebih berkesan dan pembelajaran pelajar menjadi lebih bermakna. Pengajaran yang berteraskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi mempunyai potensi yang besar dalam merubah cara belajar seseorang. Ia memberi peluang kepada guru mengaplikasikan pelbagai teknik pengajaran. Para pelajar pula berpeluang menentukan teknik yang bersesuaian dengan mereka dan mengalami suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Sumber maklumat serta rujukan juga tidak lagi terikat kepada teks daripada buku semata-mata tetapi kombinasi dari maklumat-maklumat terkini.


Salah satu aspek yang amat penting dalam bidang pendidikan ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam sesebuah bilik darjah. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan menjamin kejayaan sesuatu matlamat yang telah digariskan. Keberkesanan sesuatu proses pengajaran akan lebih mudah dicapai jika sekiranya diintegrasikan dengan penggunaan alat bantu mengajar. Dalam dunia moden hari ini sudah tentu peranan teknologi maklumat dan komunikasi, ICT memainkan peranan penting. Menurut Cantero (2000), penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan, jika sekiranya wujudnya interaksi antara guru, perisian (bahan pengajaran) dan perkakasan. Untuk memberikan impak yang positif guru perlu bersedia, mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam mengintegrasikan elemen ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Davis 2001). Justeru itu, sejauhmanakah impak aplikasi teknologi ICT dalam bidang pendidikan islam? Secara umum, pendidikan islam adalah pendidikan yang memfokuskan kepada pengetahuan yang menyeluruh; jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang berpandukan kepada falsafah kesepaduan antara kemantapan iman, ilmu pengetahuan dan amal, jasmani dan rohani serta dunia dan akhirat. Ia juga merupakan paduan antara latihan akliah, jasmani dan rohani, dengan matlamat untuk melahirkan manusia yang berkebudayaan tinggi dan sanggup melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai insan yang baik dan warganegara yang berguna. Menurut Tajul Ariffin Noordin, Nor’aini Dan (1992) dan Maimun Aqsha (‏2006) model pendidikan islam berpandukan al-Qur’an dan al-Sunnah yang menyepadukan antara pengetahuan semulajadi dengan pengetahuan yang dicari, hanya boleh dicapai menerusi pelaksanaan dan strategi yang efektif, pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran berkesan bagi membina kejayaan dan kesejahteraan ummah.


Antara langkah-langkah yang akan perlu dilakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah adalah seperti


1. Menganjurkan bengkel ICT


Permasalahan yang kerap kali didengari bagi guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah adalah kerana mereka belum bersedia. Ini berikutan kelemahan guru dalam penguasaan pedagogi dan penggunaan ICT sebagai satu dimensi baru dalam pengajaran pembelajaran bagi mencorakkan kualiti budaya belajar yang lebih bermakna. Oleh kerana bidang ICT adalah bidang yang sangat pesat berkembang, input tentang teknologi baru yang mempengaruhi cara penggunaan ICT untuk pengajaran dan pembelajaran hendaklah diperkenalkan dari semasa ke semasa. Guru perlu diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Satu cara yang ideal untuk meningkatkan efikasi guru terhadap penggunaan ICT ialah dengan menyediakan bengkel atau kursus ICT kepada guru. Dengan adanya bengkel kemahiran ICT bagi para guru akan berupaya meningkatkan efikasi guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


2. Membudayakan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dalan pembelajaran


Perancangan jangka panjang untuk ICT hendaklah mengambil kira usaha untuk membudayakan ICT dalam kalangan guru, murid serta pengurus pendidikan. Pembudayaan ICT ini perlu dilihat berlaku dalam bentuk pelbagai aktiviti yang berhubung dengan penggunaan ICT. Penerapan penggunaan aplikasi ICT melalui perkakas yang disediakan memperlihatkan perlaksanaan Sekolah Bestari nyata mencapai objektif dan juga matlamat yang disasarkan. Ini meliputi sistem pengurusan, pendidikan dan juga aktiviti-aktiviti sekolah yang dipacu menggunakan aplikasi dan perkakasan ICT. Secara tidak langsung, budaya memperkasakan ICT dapat diterapkan di kalangan para pelajar, guru-guru sekali gus kepada masyarakat setempat.


Pihak pentadbiran sekolah sendiri perlu bertindak sebagai pemimpin perubahan, penyokong kepada perkembangan staf dan menjadi model pengguna ICT yang bijak kepada warga sekolah. Implementasi ICT di sekolah perlu merupakan satu proses yang kompleks dan memerlukan perhatian yang serius dan kerjasama dari semua pihak. Guru perlu digalakkan mengintegrasikan ICT pada setiap kesempatan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sementara murid digalakkan menggunakannya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.


3. Penggunaan ICT secara optimum


Perancangan jangka panjang untuk ICT hendaklah mengambil kira usaha untuk mengoptimumkan penggunaan ICT dalam kalangan guru, murid serta pihak pentadbir sekolah. Penggunaan ICT secara optimum perlu dilaksanakan dalam pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran.


Oleh yang demikian, setiap kemudahan yang disediakan seperti komputer bimbit dan kemudahan makmal komputer hendaklah dioptimumkan penggunaannya. Jika sekolah mempunyai guru yang boleh dianggap berkemahiran dalam bidang ini, amat wajarlah pihak sekolah mendapatkan perkhidmatannya untuk melakukan latihan dalaman agar guru-guru lain akan turut dapat menjayakan hasrat mengintegrasi dan membudayakan ICT dalam melaksanakan tugas mereka. Pihak sekolah perlu berusaha menyediakan kemudahan ICT yang terbaik untuk guru-guru dan murid-murid agar mereka dapat mengakses maklumat dengan mudah bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.


4. Kepentingan ICT dan peredaran zaman


Golongan pendidik harus melihat dari aspek positif mengenai keperluan berinteraksi dengan teknologi terkini bagi membiasakan generasi yang akan datang dengan cara hidup canggih di abad ke – 21 nanti. Penggunaan multimedia secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada guru dan pelajar menggunakan dan memahirkan diri dengan pelbagai teknologi terkini dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran teknologi baru yang akan datang. Terdapat kemungkinan dimana suatu masa nanti pengajaran tradisi yang selama ini hanya menggunakan buku, kapur dan papan hitam akan diambil alih fungsinya oleh computer dan teknologi lain yang setara dengannya.


Penggunaan ICT merupakan satu fenomena yang semakin berkembang dalam aspek kehidupan manusia sama ada secara langsung ataupun tidak. Dunia pendidikan juga tidak terkecuali turut merasa bahang teknologi ini. Oleh itu, semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan terutamanya para guru perlu bergerak seiring dengan arus perkembangan teknologi tersebut dalam usaha memastikan sistem pendidikan yang dilaksanakan tidak ketinggalan, seterusnya dapat berkembang maju seiring dengan keperluan masyarakat semasa.


5. Memberi info tentang kelebihan dan kekuatan penggunaan ICT


Untuk mencapai hasrat penggunaan ICT secara menyeluruh dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru harus diyakinkan bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT. Penggunaan ICT dalam bidang pendidikan dapat meringankan beban serta kekangan yang sedia wujud dalam pembelajaran tradisi yang sebelum ini terhad kepada penggunaan buku, kapur dan papan hitam.


Dengan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penggunaan komputer adalah menumpu kepada cara dan strategi persembahan maklumat yang digunakan bagi mewujudkan pembelajaran yang berkesan. Teks isi pelajaran yang panjang boleh diringkaskan atau dipersembahkan semula menggunakan media-media yang lebih menarik serta mampu merangsang minda dan menambah kefahaman pelajar. Soalan-soalan latihan turut dimuatkan selepas pengajaran setiap tajuk agar pelajar dapat menilai kefahaman tahap mereka, di samping memperkukuhkan pembelajaran. Peranan guru pula masih kekal kerana tidak mungkin teknologi boleh menggantikan peranan yang dimainkan oleh guru sepenuhnya. Ia hanya bertindak sebagai bahan bantu mengajar bagi menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna.


6. Perlu inisiatif sendiri untuk pelajari ICT


Untuk terus kekal maju dalam pengintegrasian ICT ini, guru perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mempelajari kemahiran-kemahiran mengintegrasikan ICT secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Tahap ilmu dan kemahiran guru itu akan mempengaruhi minat dan keupayaannya untuk merubah amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada dan membawa amalan tersebut ke peringkat yang lebih berkualiti lagi.


Guru perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan pengurusan pembelajaran bestari. Antara kemahiran yang perlu dimiliki oleh seorang guru ialah dapat membina atau membangunkan perisisan pendidikan bersifat multimedia dan interaktif untuk kegunaan pengajaran di dalam bilik darjah. Ini kerana teknologi multimedia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri dalam mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran.Guru juga boleh membina bahan media bagi membolehkan pelajar mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai sesuatu permasalahan yang perlu diselesaikan serta menunjukkan cara penyelesaiannya.Dengan adanya rangkaian “on line learning management system” pula, guru boleh menjejak perkembangan pembelajaran pelajar.


PENUTUP


Di antara tahap yang tinggi dalam penggunaan teknologi ICT adalah peranan teknologi bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran, peranan teknologi bagi menarik minat pelajar dan juga penerapan nilai-nilai murni melalui media pembelajaran dalam kursus. Walaubagaimanapun tahap penggunaan teknologi di kalangan guru Pendidikan Islam masih perlu ditingkatkan kerana didapati penggunaannya masih berada pada tahap yang sederhana. Dalam era perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi ini, guru-guru mestilah sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam penggunaan peralatan teknologi terkini. Kelebihan yang ada pada guru-guru ialah keupayaan untuk menterjemahkan amalan pedagogi biasa ke amalan mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Natijah akhirnya agar pelajar akan lebih berminat, bermotivasi dan mudah memahami sesuatu ilmu yang diajar oleh gurunya.


Pendidik atau guru adalah agen penting untuk membangunkan modal insan. Modal insan yang ingin dijana tidak hanya mengambil kira perkembangan kognitif atau minda tetapi juga pembangunan rohani dan jasmani. Justeru pendekatan menyeluruh dan bersepadu perlu dilaksanakan bagi menyediakan generasi hari depan yang berkebolehan, memiliki daya tahan, menguasai ilmu, kemahiran dan kepakaran serta berupaya mengaplikasikan interpretasikannya dalam bentuk amal dan perbuatan soleh. Gabungan ciri-ciri ini akan melahirkan modal insan yang berkebolehan, mampu bersaing, memiliki daya reka dan daya gubah yang tinggi, berfikir kreatif dan strategik dan pada masa sama memiliki kualiti diri yang unggul. Di sinilah letaknya peranan pendidik yang berupaya menggunakan aplikasi teknologi kerana tanggungjawab memperkasa murid berkualiti memerlukan kepakaran yang tinggi di kalangan guru-guru khususnya guru Pendidikan Islam.